Ferrari memperkenalkan SUV pertama mereka dengan ciri crossover yang dikenali sebagai Ferrari Purosanguedengan kod model F17. Menurut sumber Harian Metro, Ferrari Purosangue yang juga kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah keluaran Ferrari bakal menjengah pasaran tahun depan, namun namanya cukup meniti minat penggemar model keluaran syarikat berkenaan.
Model unik ini didatangkan dengan empat pintu serta empat tempat duduk, malah ia menggabungkan elemen yang ada pada model Roma, 296, SF90 dan 812. Manakala pada bahagian hadapan, ia menggunakan reka bentuk model SF90 Stradale namun dengan gaya yang sedikit berbeza dan terkini.
Model ini dibangunkan dengan casis serba baharu yang mana struktur bawah kenderaan dibina daripada aluminium berketahanan tinggi selain kerangkanya gabungan aluminium dan gentian karbon. Rekaan luarannya masih bercirikan aerodinamik. Malah, SUV ini datang dengan lampu hadapan dan lampu nyalaan siang (DRL).
Ferrari Purosangue menggunakan enjin petrol V12 6.5 liter dengan konsep penentukuran yang di ilhamkan dari Formula 1. Enjin ini menghasilkan kuasa 715hp dan dilengkapi enjin 6.5 liter liter V12, ‘naturally aspirated’, transmisi dwi klac lapan kelajuan F1 DCT dengan kelajuan tertinggi melebihi 310 km/j.
Tayar hadapannya bersaiz 22 inci manakala tayar belakang bersaiz 23 inci. Ruang kokpit diinspirasikan daripada model SF90 Stradale dengan paparan meter 10.2 inci di bahagian penumpang hadapan.
Purosangue juga datang dengan sistem suspensi aktif Ferrari serta Pengesan Dinamik Casis enam ketetapan (6w-CDS) selain Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) ‘evo’ dengan sistem kawalan meliputi Kawalan Gelinciran Sisi.
Model ini ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Silver, Metallic White, Black dan juga Red Nero Purosangue. Buat masa ini, Ferrari masih merahsiakan tanda harga Purosangue, namun menurut andaian pemerhati automotif, dianggarkan harganya mungkin mencecah $400,000 (RM1.81 juta).
Ini mungkin menjadikannya lebih mahal berbanding beberapa model supercar dan SUV mewah dalam pasaran. Untuk pasaran Itali, Ferrari Purosangue ditawarkan pada harga RM1.75 juta dengan jangkaan pengeluaran bermula pada tahun ini dan diserahkan kepada pelanggan bermula pada suku kedua tahun depan.