PEEK DAILY, Trivia, Uncategorized

10 Alergi Paling Pelik dan Jarang Berlaku

Apabila berbicara tentang alergi, kebanyakan orang pasti membayangkan reaksi terhadap habuk, debu, haiwan peliharaan, atau makanan seperti kacang dan susu. Namun, dalam bidang perubatan, wujud pelbagai jenis alergi yang jarang berlaku dan bersifat luar biasa termasuk reaksi terhadap air, cahaya matahari, malah aktiviti fizikal atau hubungan intim.

Berikut ialah antara alergi luar biasa yang pernah dikenal pasti oleh pakar perubatan, dan bagaimana ia memberi kesan kepada penghidapnya.

Alergi Makanan Yang Tidak Dijangka

1. Oral Allergy Syndrome (OAS)

Sindrom ini berlaku apabila individu yang mempunyai alergi terhadap debunga tertentu mengalami reaksi apabila memakan buah atau sayur mentah. Contohnya, mereka yang sensitif terhadap birch pollen mungkin mengalami rasa gatal di mulut selepas memakan epal, kiwi, atau lobak merah.

Fenomena ini berlaku kerana struktur protein dalam makanan mentah menyerupai struktur debunga, menyebabkan sistem imun tersilap mengenalinya. Namun, makanan yang dimasak biasanya tidak menimbulkan reaksi tersebut.

2. Alergi Daging Mamalia (Alpha-Gal Syndrome)

Gigitan Lone Star tick dapat mencetuskan pembentukan antibodi terhadap karbohidrat alpha-gal, yang terdapat dalam semua daging mamalia seperti lembu, kambing, dan arnab. Penghidap alergi ini  boleh mengalami reaksi alergi beberapa jam selepas memakan daging tersebut, termasuk gatal-gatal, ruam, atau bengkak.

3. Alergi Chamomile

Chamomile, yang sering digunakan dalam teh dan produk penjagaan kulit, mempunyai kaitan rapat dengan ragweed. Individu yang sensitif terhadap ragweed pollen mungkin mengalami reaksi selepas meminum teh chamomile atau menggunakan produk berasaskan tumbuhan ini.

Kredit foto: Freepik

Dalam kes yang jarang berlaku, reaksi boleh menjadi teruk sehingga menyebabkan anafilaksis iaitu tindak balas alahan yang teruk dan mengancam nyawa yang berlaku secara tiba-tiba, menyebabkan penyempitan saluran udara, penurunan tekanan darah, dan gejala seperti sesak nafas, bengkak, dan pening.

4. Alergi Sulfit Dalam Wain dan Makanan Proses

Bahan pengawet seperti sulfur dioksida dan sulfite digunakan dalam pembuatan wain, cuka, dan makanan dalam tin. Individu yang sensitif terhadap bahan ini, terutamanya pesakit asma, boleh mengalami reaksi seperti sesak nafas atau gatal-gatal selepas mengambilnya.

5. Alergi Air (Aquagenic Urticaria)

Walaupun kedengaran mustahil, terdapat individu yang mengalami reaksi alahan apabila kulit mereka bersentuhan dengan air, termasuk peluh dan air mata. Keadaan ini menyebabkan ruam dan rasa gatal, namun tiada rawatan khusus yang terbukti berkesan setakat ini.

Alergi Bukan Makanan Yang Luar Biasa

1. Alergi Lateks (Getah Asli)

Reaksi terhadap lateks boleh berkisar daripada gatal yang ringan sehingga anafilaksis yang serius. Menariknya, individu yang mempunyai alergi terhadap lateks juga mungkin menunjukkan reaksi silang terhadap makanan seperti pisang, betik, dan kiwi.

2. Alergi Cecair Seminal (Seminal Fluid Hypersensitivity)

Sesetengah wanita mengalami reaksi alergi terhadap cecair seminal pasangan mereka, yang boleh menyebabkan keradangan, gatal, atau bengkak pada kawasan terlibat. Dalam kes tertentu, penggunaan kondom atau rawatan kesuburan seperti IVF digunakan bagi mengelakkan pendedahan secara langsung.

3. Alergi Cahaya Matahari (Solar Urticaria)

Pendedahan kepada cahaya matahari boleh menyebabkan ruam, gatal, atau loya kepada individu yang menghidap solar urticaria. Rawatan termasuk penggunaan ubat antihistamin dan perlindungan daripada sinaran UV.

Kredit foto: Freepik

4. Alergi Disebabkan Senaman (Exercise-Induced Allergy)

Sesetengah individu hanya mengalami reaksi alergi apabila bersenam, atau apabila memakan makanan tertentu sebelum melakukan aktiviti fizikal. Misalnya, seseorang mungkin tidak mempunyai masalah memakan saderi atau bersenam secara berasingan, tetapi apabila kedua-duanya digabungkan dalam tempoh masa yang singkat, reaksi alahan boleh berlaku.

5. Alergi Sejuk (Cold Urticaria)

Pendedahan kepada suhu rendah boleh menyebabkan gatal, bengkak, dan kesukaran bernafas. Pesakit dinasihatkan mengelak daripada terdedah kepada persekitaran sejuk sejauh yang mampu.

Jika anda sering mengalami simptom luar biasa selepas makan, menyentuh, atau melakukan sesuatu, sebaiknya dapatkan nasihat doktor. Langkah awal dalam mengenal pasti punca alergi bukan sahaja membantu merawat simptom, tetapi juga dapat meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.